ISNIN lalu, Anugerah Grammy di Las Vegas menampilkan penglibatan ramai selebriti popular, termasuk kumpulan K-pop fenomena, BTS.
Biarpun tewas dalam kategori Duo Pop Terbaik atau Persembahan Kumpulan, BTS tetap mendapat pujian dan tepukan gemuruh, lebih-lebih lagi ketika membuat persembahan khas menerusi lagu terbaharu mereka, Butter.
Buktinya, BTS disambut tepukan gemuruh oleh semua selebriti kerana persembahan dan tarian yang menakjubkan.
Menerusi siaran langsung dalam VLive selepas tamatnya anugerah tersebut, BTS mengucapkan terima kasih kepada peminat mereka atas sokongan yang tidak berkesudahan.
Anggota BTS, Ji-min mengulas walaupun tidak menang, mereka tetap bersyukur kerana berpeluang menghadiri acara berprestij dunia itu.
“Terima kasih kepada ARMY, kami dah cuba lakukan yang terbaik, sayang sekali kami tidak menang.
“Menang kalah nombor dua. Diundang dalam anugerah besar sebegini pun sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.