PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Janna Nick berang dengan sikap tidak berperikemanusiaan seorang jiran di kawasan kediamannya yang dipercayai mendera dan mencederakan kucing kesayangannya.
Lebih menyakitkan hati, individu tersebut turut mengugut mahu menyembelih si ‘bulus’nya yang diberi nama Tempe itu.
“Tak faham bagaimana boleh ada jiran sebegini, dia pernah simbah air kepada kucing saya. Malah, individu terbabit juga pernah menggugut hendak sembelih kucing peliharaan saya sebelum ini.
“Saya jarang ada di rumah, mungkin kucing saya sering ke rumahnya. Namun, itu tidak bermakna dia berhak mengasari atau mendera kucing saya.
“Tidak tahu apa yang dilakukan, sampai ada bahagian pada badannya yang hilang bulu. Mungkin terkena benda panas atau sebagainya. Naik marah pula apabila ada individu yang sanggup bersikap begini,” luahnya geram menerusi InstaStory.
Janna turut berkongsi rasa terkilan dan sedih dengan perbuatan yang disifatkan tidak masuk akal segelintir individu kerana tergamak mencederakan haiwan.
Pada hantaran berbeza, pelantun lagu Gatal itu turut mengharapkan bantuan informasi daripada pengikutnya berhubung pihak berwajib yang boleh menerima aduan mengenai isu tersebut agar pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.
Perkongsian Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 27, mengundang pelbagai reaksi daripada pengikut terutama pencinta kucing.
Masing-masing turut berkongsi laman sesawang dan beberapa nama pertubuhan mengenai haiwan untuk Janna membuat laporan berhubung isu terbabit.
Pada akhir perkongsiannya, Janna turut memuat naik beberapa paparan skrin artikel mengenai individu yang dijatuhkan hukuman kerana melakukan kesalahan mencederakan haiwan.
Janna ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, sehingga kini dia masih mengumpul beberapa bahan bukti sebelum mengajukan aduan ke pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE