PETALING JAYA – Penduduk di beberapa negeri di Semenanjung termasuk Sabah dinasihatkan sentiasa berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pagi ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu dijangka berlaku di negeri Selangor melibatkan Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Di Johor pula membabitkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.
“Manakala cuaca buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Melaka dan Negeri Sembilan melibatkan Port Dickson,” katanya.
Selain itu, amaran yang sama turut dikeluarkan di seluruh kawasan negeri Sabah membabitkan kawasan sekitar Kudat.
Tambahnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam. – KOSMO! ONLINE