GOMBAK – Hilang kawalan dipercayai punca seorang pemandu merempuh tiga buah motosikal serta sebuah kereta dalam kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Baru, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan kejadian terbabit menerusi video berdurasi satu minit yang tular di media sosial semalam.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Suzuki Swift usai mengambil cucunya dari SMK Selayang Baru menghala ke Selayang Prima dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta tiga buah motosikal.
“Rempuhan itu menyebabkan seorang penunggang serta pembonceng motosikal mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki dan kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan di Zon Hijau, Hospital Selayang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Zainal, pemandu Suzuki Swift serta Perodua Bezza pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, polis sedang giat mengesan dua lagi penunggang motosikal yang masih belum membuat laporan polis dan pemeriksaan di hospital mendapati tiada mangsa tampil mendapatkan rawatan.
Katanya, kes ini disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE