fbpx

Britain, AS, Australia kukuh kerjasama bangunkan senjata hipersonik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden (tengah), Morrison (kiri) dan Johnson (kanan) ketika mengadakan satu persidangan secara maya di Washington pada 15 Disember 2021. - Getty Images

LONDON – Britain akan mengukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan Australia bagi membangunkan senjata hipersonik baharu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari Rusia dan China.

Menurut laporan akhbar The Sun, keputusan untuk meningkatkan kerjasama menerusi pakatan antara tiga negara digelar AUKUS itu dicapai oleh ketiga-tiga pemimpin iaitu Presiden AS, Joe Biden, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison selepas satu sesi perbincangan drastik.

Pakatan itu sebenarnya sudah ditubuhkan sejak tahun lepas untuk berkongsi sub-rahsia nuklear, namun kini ia diperluaskan lagi bagi merangkumi peperangan siber dan senjata angkasa futuristik.

Peluru berpandu hipersonik itu dilaporkan boleh bergerak lima kali lebih pantas daripada kelajuan bunyi, sekali gus menjadikannya hampir mustahil untuk dielakkan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dipercayai telah mengerahkan penggunaan roket hipersonik di Ukraine, namun para pegawai menegaskan perjanjian AUKUS itu bukanlah satu tindak balas terhadap tindakan tersebut.

“Senjata hipersonik sukar dikesan dan boleh mengenai sasaran dengan pantas serta tepat. Itu adalah kelebihan yang kita mahukan semasa setuju menyertai AUKUS.

“Jika kita mempunyai keupayaan hipersonik, ia membolehkan kita menghalang musuh dengan lebih berkesan,” kata seorang pegawai Britain.

Britain buat masa ini tidak mempunyai senjata hipersonik walaupun AS dan Australia mempunyai program bersama sedia ada untuk membangunkan teknologi itu.

Sementara itu, kerjasama lanjut mengenai peperangan elektronik, siber dan bawah laut serta kecerdasan buatan turut dipersetujui dalam kerjasama itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI