MOSCOW – Kerajaan Rusia mendakwa bahawa isu pembunuhan beramai-ramai di Bucha seperti yang dibesar-besarkan Barat adalah taktik blok itu untuk melengahkan rundingan damai antara Kremlin dan Ukraine, lapor laman berita RT, kelmarin.
Menurut Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, provokasi tersebut muncul ketika terdapat perkembangan positif mengenai rundingan yang sedang berlangsung di Istanbul, Turki.
“Kami mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa isu Bucha hanyalah sekadar cubaan untuk mengganggu rundingan damai yang semakin hampir dengan jalan penyelesaian.
“Pada 29 Mac lalu, buat kali pertama sejak rundingan bermula, pihak Ukraine mencadangkan visi bertulis tentang bagaimana perjanjian itu menjelaskan status negara itu dan jaminan keselamatan,” kata Lavrov.
Beliau menambah, bagi perkembangan semasa rundingan, Kiev buat kali pertama bersedia untuk mengisytiharkan negara itu sebagai neutral dan tidak berkaitan dengan mana-mana blok dunia secara bertulis.
Lavrov turut menegaskan bahawa penduduk Ukraine sendiri telah menyatakan keengganan bagi penggunaan senjata asing di tanah air mereka atau menjalani latihan dengan penyertaan tentera luar tanpa persetujuan semua negara penjamin perjanjian masa depan termasuk Rusia.
Jaminan keselamatan bertulis itu secara tidak langsung akan menolak sepenuhnya jajahan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sayap timur dan memastikan keselamatan terjamin di benua Eropah.
Di samping itu, pihak Ukraine sendiri menulis dalam bentuk draf mengenai peruntukan utama bahawa jaminan keselamatan tidak akan digunakan untuk menuntut Semenanjung Crimea dan wilayah Donbass yang disifatkan oleh Lavrov sebagai kemajuan persefahaman.
“Sekali lagi kami ingin menggesa pihak yang mengetuai strategi di Kiev bahawa kami kenal siapa anda dan anda perlu mengingati tanggungjawab ke atas keselamatan blok Eropah.
“Rusia bersedia untuk terus berunding, tetapi kami mahu mencapai kemajuan sebenar dalam proses ini dan bukan sekadar memberi harapan palsu.
“Jika Kiev terus membenarkan tindakan sabotaj seperti yang berlaku di Bucha, kita akan mengulangi kegagalan perjanjian Minsk dan Rusia tidak akan sesekali bersetuju dengan kemungkinan itu (rundingan damai),” tegas Lavrov.
Selepas pengunduran tentera Rusia dari Bucha, beratus-ratus orang awam yang didakwa dibunuh secara beramai-ramai telah ditemui di bandar itu.
Ukraine menyalahkan aktiviti genosid berkenaan ke atas tentera Rusia, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Moscow.
Presiden Volodymyr Zelensky bagaimanapun memberi isyarat bahawa Ukraine masih berminat dalam usaha mencari jalan penyelesaian diplomatik dengan Rusia.
“Kami berminat untuk meneruskan rundingan damai ini kerana Ukraine mahu mencari keamanan. Kita berada di Eropah pada abad ke-21. Kami akan meneruskan usaha diplomatik dan ketenteraan kami,” kata Zelensky. – AGENSI