PETALING JAYA – Penyanyi Aizat Amdan menafikan sudah berkahwin secara senyap-senyap dan mempunyai seorang anak tanpa pengetahuan masyarakat.
Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan bagaimanapun mengakui bayi tersebut mempunyai hubungan darah dengannnya.
“Astaghfirullah, nauzubillah min zalik. Allahuakbar. Sebenarnya, muka budak itu memang macam muka saya.
“Budak itu yang kalian lihat dalam Instagram adalah anak kakak saya,” kata Aizat, 33, ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa Armani Entertainment Group di Hotel Hilton, Kuala Lumpur malam tadi.
Ditanya tentang status hubungannya dengan seorang wanita bernama Elyssa Alia yang memuat naik foto berkenaan, Aizat berkongsi berita gembira bahawa individu berkenaan merupakan teman wanitanya.
Akui pelantun lagu Hanya Engkau Yang Mampu itu lagi, dia sudahpun merisik Elyssa pada 12 Februari yang lalu.
“Insya-Allah, ada dalam perancangan (untuk berkahwin). Dia merupakan orang yang istimewa dalam hidup saya.
“Sekarang ini, dia teman wanita sayalah senang cerita. Untuk benda-benda lain selepas ini, saya akan kongsikan kemudian,” ujarnya.
Berkongsi tentang bibit-bibit perkenalan, Aizat memaklumkan, mereka sudah berkenalan sejak dua tahun lalu dan sekarang, Elyssa menguruskan kerjaya seninya termasuk bertindak sebagai pengurus syarikat miliknya, Kasi Gegar Entertaiment.
“Sebelum kerja dengan saya, dia kerja dengan kerajaan. Saya pertama kali jumpa dia ketika dia bertugas sebagai penyampai radio, Rakita.
“Elyssa seorang yang sangat istimewa, dia sangat penyayang. Dia sangat sukakan budak-budak. Itu ciri yang membuatkan saya jatuh hati dengannya.
“Insya-Allah kalau tiada aral melintang, akan langsung tahun ini. Sekarang tak boleh ‘confirm’ apa-apa lagi dengan puasa dan tak lama lagi mungkin ada Pilihan Raya Umum. Apa-apa saya akan kongsi dengan semua, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Elyssa berkongsi sekeping foto seorang kanak-kanak kecil yang wajahnya saling tidak tumpah dengan Aizat dan membuatkan segelintir pihak berspekulasi sama ada penyanyi itu sudah berkahwin tanpa sebarang hebahan media. – KOSMO! ONLINE