PETALING JAYA – Bersempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022, Lembaga Pelancongan Sarawak bakal mengagihkan juadah bubur pedas Sarawak kepada pengunjung pameran tersebut secara percuma.
Pameran yang akan berlangsung selama dua hari bermula 9 April itu bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagi mereka yang merindui masakan tradisional tersebut, pastinya kunjungan ke pameran berkenaan sangat bermakna kerana juadah itu sukar ditemui di mana-mana restoran atau bazar Ramadan di Semenanjung Malaysia.
Seorang peminat bubur pedas Sarawak, Dr. Farah Ahmal Idrus berkata, menu bubur pedas memang sukar ditemui di Semenanjung kerana ia sangat istimewa dan mempunyai nilai kenegerian yang tersendiri.
“Ia seperti bubur lambuk tetapi rempah ratus yang digunakan membuatkan menu ini agak unik selain dimasak dengan sayur-sayuran bagi menjadikannya sesuai untuk semua golongan.
“Cara memasak juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia cukup rumit untuk disediakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Farah Ahmad yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak menerangkan, masakan itu memerlukan 30 bahan termasuk ramuan untuk memasak bumbu yang terdiri daripada pelbagai rempah ratus.
Bahan utama lain pula antaranya terdiri daripada udang, tendon daging lembu, santan, lobak merah, kentang, keledek, rebung manis, kulat hitam, kacang rebus dan juga jagung muda.
Selain itu, seorang anak jati Sarawak, Siti Ameena Mostapha menjelaskan, seiring perubahan gaya hidup semasa, keinginan untuk menikmati bubur pedas di luar bulan Ramadan kini sudah dapat diatasi melalui penggunaan pes yang dijual banyak syarikat tempatan.
Menurut beliau, melalui pembelian secara online, orang ramai kini boleh menikmati bubur pedas dengan membuatnya sendiri tanpa perlu melalui proses konvensional yang terlalu rumit itu. -KOSMO! ONLINE