fbpx

5 tip kekal sihat, cergas di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KURMA mengandungi gula ringkas yang dapat memberikan tenaga dengan cepat.

BERMULA Ahad lalu, umat Islam yang sihat tubuh badan diwajibkan menjalani puasa sempena kedatangan bulan rahmat, Ramadan.

Sepanjang bulan ini, umat Islam perlu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam mentari.

Ramai menganggap Ramadan merupakan bulan terbaik untuk berdiet sama ada untuk mengurangkan berat badan atau menjadikan tubuh lebih sihat.

Sebaliknya, niat tersebut sering tersasar disebabkan kegagalan mengawal nafsu ketika berbuka puasa dengan mengambil makanan dan minuman dalam kuantiti yang banyak.

Pada masa sama, ramai yang gemar menikmati sajian kurang sihat ketika berbuka dan sahur seperti mengandungi kandungan gula tinggi dan berminyak.

Situasi ini boleh mengundang kepada komplikasi kesihatan kronik serta berpotensi mengalami masalah obesiti .

Minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip pemakanan sihat sepanjang Ramadan seperti yang dicadangkan oleh pakar kesihatan tempatan, Dr. Suffia Hani Mohd. Amin.

Pengambilan air
Sentiasa kekal terhidrat dengan pengambilan air secukupnya untuk keseimbangan tenaga dan berat badan.
Setiap hari, seseorang itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air bagi memastikan keseimbangan bendalir dalam badan.
Justeru, anda disarankan memperbanyak minum air putih atau air mineral di antara waktu berbuka sehingga sahur serta mengehadkan pengambilan air manis mahupun air berkarbonat.

 

Makanan seimbang
Sepanjang Ramadan, anda disaran supaya mengambil buah, sayur dan serat secukupnya.
Hidangan ini dapat melancarkan pencernaan usus bagi mengimbangi penyerapan tenaga dan zat untuk kesihatan.
Elakkan daripada berbuka puasa dan bersahur dengan makanan segera dan snek ringan kerana boleh mengundang ketagihan serta menjadi tabiat sehingga selepas Ramadan.

 

Jamah tamar
Buah tamar atau dikenali sebagai kurma mampu menjadi makanan terbaik untuk bersahur dan berbuka puasa.
Dianjurkan untuk bersahur dengan kurma kerana kandungan gula ringkas seperti fruktosa dan dekstrosa bertindak memberikan tenaga dengan cepat serta dapat mencegah perut lapar.
Mereka yang berpuasa memerlukan gula untuk menghasilkan tenaga. Maka, memakan kurma secukupnya ketika bersahur membantu anda menjalani ibadah puasa dengan lebih baik.

 

Berbuka sederhana
Pengambilan makanan berlebihan tidak baik untuk tubuh.
Ini kerana, ia akan menyebabkan gangguan sistem pencernaan dengan melambatkan proses penghadaman seperti gangguan pencernaan, kembung perut dan cirit-birit.
Justeru, anda disarankan berbuka puasa dengan menjamah makanan dalam kuantiti sedikit, makan dengan perlahan dan pengambilan makanan seimbang.

 

Senaman ringan
Ramadan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bermalasan di rumah sahaja.
Anda masih boleh melakukan aktiviti sihat sepanjang bulan puasa ini dengan melakukan senaman ringan seperti berjalan atau naik turun tangga secara perlahan.
Tanpa kita sedari, menunaikan solat sunat tarawih pada sebelah malam juga merupakan salah satu senaman terbaik kepada tubuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI