PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berada dalam senarai Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time atau 100 penyanyi yang menerima augerah terbanyak , sebaris dengan nama-nama besar antarabangsa yang lain.
Dalam senarai yang dikeluarkan oleh The Artist Museum tersebut, Siti, 43, berada di kedudukan ke-27 dengan jumlah anugerah yang dimenanginya sebanyak 329 anugerah sejak memulakan karier pada tahun 1995.
Kejayaan pelantun lagu Cindai itu menduduki tangga ke-27 sekali gus turut mengenepikan beberapa senarai penyanyi terkenal lain antaranya Katy Perry ditangga ke-31, Celine Dion (33) dan Alicia Keys (38) dan Christina Aguilera (44).
Kejayaan penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu sekali gus memberi keterujaan kepada peminatnya apabila mampu bersaing dengan penyanyi-penyanyi hebat antarabangsa selain membuktikan kemampuannya untuk menjadi seorang penghibur berkelas dunia.
“Tahniah Siti Nurhaliza. Sentiasa menjadi penyanyi nombor satu. Tolong jangan berhenti menyanyi. Kami masih perlukan anda dalam industri,” ujar seorang peminatnya dalam Twitter.
“Siti satu-satunya penyanyi Malaysia yang tersenarai bersama penyanyi-penyanyi terkenal antarabangsa. Tahniah Siti Nurhaliza!” komen seorang lagi peminatnya.
“Wow! Siti Nurhaliza berada di atas Celine Dion. Tahniah,” ciap seorang peminatnya.
Sekadar info, Siti mengumpul banyak pengiktirafan dengan menerima penghargaan di beberapa anugerah antaranya Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Bintang Popular.
Siti juga telah beberapa kali menerima anugerah di peringkat antarabangsa seperti di Shanghai Music Festival, Voice of Asia dan MTV Asia.
Sebelum ini, ibu kepada dua orang cahaya mat aitu juga pernah tersenarai sebagai 100 individu paling berpengaruh dalam dunia digital di Asia dan tersenarai antara 500 Wanita Muslim Paling Berpengaruh sebanyak tiga kali. – KOSMO! ONLINE