SUNGAI PETANI – Sebuah keluarga dari Kampung Kilang Makau, Pokok Asam di sini, dihimpit kemiskinan sehingga terpaksa menumpang pondok kepunyaaan seorang pekebun tanpa bekalan air dan elektrik sejak hampir empat tahun lalu.
Muhammad Ridwan Tee Abdullah, 45, dan isterinya, Rahimah Abd. Razak, 38, tinggal di pondok seluas enam meter panjang dan lapan meter lebar milik seorang pekebun sayur bersama tiga anak mereka yang berusia lima, sembilan dan 10 tahun.
Muhammad Ridwan yang merupakan seorang mualaf berkata, dia dan isterinya tidak berkemampuan untuk menyewa rumah yang selesa kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Kami melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah membersihkan kawasan kubur Cina.
“Ada masanya saya mengambil upah sebagai tukang cat di bengkel kereta selain mengumpul barang-barang terbuang untuk dijual agar perbelanjaan keluarga tidak terputus,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Muhammad Ridwan, dia juga tidak mempunyai wang untuk memasang bekalan air dan elektrik kerana pendapatan yang diperoleh sekadar cukup untuk makan mereka lima beranak.
Dua anaknya iaitu Nurfarhanie, 9, dan Muhammad Farish Daniel, 10, yang bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Tai Tong di sini belajar menggunakan lampu solar yang dipasang sendiri.
“Sumber air pula kami sekeluarga menggunakan air telaga. Walaupun airnya agak berbau kami tiada pilihan kerana itulah satu-satunya bekalan air yang ada untuk mandi dan membasuh. Air untuk diminum pula saya beli di kedai atau tadah air hujan dan dimasak,” katanya.
Anak bongsu Muhammad Ridwan, Muhammad Fazrin Danish tidak dihantar ke tadika kerana masalah kewangan.
Tambah lelaki itu, dia pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah, namun sehingga kini statusnya masih belum diketahui.
“Kami bernasib baik kerana ada orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu saya sekeluarga selama ini untuk meneruskan hidup,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Muhammad Ridwan di talian 019-736 9397.