fbpx

Rasuah: Bekas pengarah ICU Pulau Pinang kekal dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Bekas pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang, Mohd. Noor Rejab kekal dipenjara oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini sabitan salah atas kesalahan membabitkan rasuah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu bernasib baik selepas panel tiga hakim sebulat suara yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah meminda hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kepada penjara 15 bulan.

Terdahulu, Hakim Kamaludin ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dapatan yang dibuat oleh mahkamah-mahkamah sebelum ini berdasarkan fakta dan tiada sebarang alasan yang ditemukan bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu keputusan terdahulu.

“Selepas meneliti segala hujahan, penghakiman daripada , rekod rayuan dan nota keterangan, kami mendapati tiada sebarang alasan untuk mengganggu dapatan mahkamah terdahulu. Dapatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan kita tidak boleh ganggu fakta tanpa alasan,” kata hakim itu.

Sementara itu, berhubung hukuman penjara, panel terbabit memutuskan untuk meminda hukuman tersebut daripada penjara tiga tahun ke 15 bulan selepas mengambil kira beberapa faktor terutamanya usia perayu (Mohd. Noor).

Pada 18 Mei 2018, Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang telah menyabitkan Mohd. Noor atas kesalahan menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang bagi mendapatkan suapan dengan memperakukan baucer bayaran bagi pembekalan kot makmal untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise, yang turut mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Pada 11 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi.

Pada tarikh sama, mahkamah itu turut mensabitkan Mohd. Noor atas kesalahan setuju terima wang berjumlah RM24,656 melalui cek Maybank daripada Syed Mohamed Mohamed Farook yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan dirinya pada 24 Oktober 2013 di Maybank Cawangan Jalan Penang Road.

Untuk kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mohd. Noor sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM130,812.50 bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki terbabit dikenakan hukuman penjara setahun. Hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI