MIRA FILZAH, antara selebriti popular yang paling dinanti-nantikan peminat tentang berita kehamilan sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020.
Penantian kehadiran si kecil itu menjadi sorotan peminat sementelah khabar angin tentang kehamilan sulungnya mula dihidu peminat sejak November lalu.
Biarpun pada awalnya menepis telahan umum, namun penantian peminat akhirnya terlerai selepas Emir sendiri mengesahkan isteri tercinta hamil enam bulan pada Januari lalu.
Senggang waktu berlalu, kini Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman sedang sarat hamil lapan bulan dan menanti momen terindah untuk melahirkan permata hatinya ke dunia.
Mira, 29, ketika ditemui pada majlis Women of Excellence Awards 2021/22 di ibu kota bersama Emir baru-baru ini berkongsi perkembangan terkini dirinya yang sedang meniti hari bahagia untuk bergelar seorang ibu.
Kongsi pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu, tempoh kehamilannya ketika ini tetap diisi dengan kepadatan jadual kerja.
Kata Mira, kebanyakan kerja hanya melibatkan komitmen dan kerja-kerja bersama produk yang diwakilinya sebagai duta dan model.
“Buat masa sekarang, tiada apa sangat pun sebab saya tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran.
“Cuma, saya sedang siapkan kerja-kerja fotografi melibatkan beberapa jenama. Saya terpaksa habiskan sepanjang Februari dan Mac sebab nak selesaikan semuanya sebelum cuti bersalin kelak,” katanya.
Fokus berehat
Mira yang dijangka bersalin pada awal Mei depan turut berkongsi pengalaman kehamilan pertamanya seperti simptom lazim yang dirasai ibu-ibu hamil lain.
Sakit belakang dan bengkak kaki, demikian ‘kesakitan’ yang dialami pelakon cantik manis itu saat menggendong nyawa kecil di dalam rahimnya ketika ini.
“Saya ingatkan boleh berehat masa hamil (ketawa) tetapi banyak kerja yang perlu diselesaikan sebab kerja tetap kerja.
“Kita terikat dengan perjanjian bersama produk.
“Disebabkan bekerja dalam keadaan sarat, saya akui memang penat. Cuma taklah terlalu penat, masih boleh tahan sakit yang dirasai,” katanya.
Emir yang setia menemani isteri di sisi turut diusik tentang pengalaman menjaga Mira yang sarat hamil, tetapi masih gagah bekerja siang hingga ke malam.
Akui lelaki yang berprofil kerjaya arkitek itu, dia sangat mengagumi semangat isteri tercinta kerana masih kuat bekerja walaupun dalam fasa trimester terakhir kehamilan.
“Memang risau dia bekerja dalam keadaan sarat, tapi bila balik rumah, dia minta saya urut.
“Bila dia keluar, nampak ‘steady’. Dia ‘iron lady’ ketika bekerja tetapi di rumah, manja sikit.
“Sebenarnya saya terkejut juga dia masih gagah tapi Mira memang seorang yang rajin bekerja,” puji Emir.
Persiapan mental
Selain Neelofa, bayi yang bakal dilahirkan Mira juga disebut-sebut sebagai anak selebriti popular bagi tahun ini.
Jadi, tidak hairanlah andai kehadirannya dalam masa beberapa bulan lagi disambut dengan penuh keterujaan.
Menjelang detik akhir bergelar ibu, pelakon Pujaan Hati Kanda itu sudah bersedia mendepani pengalaman indah tersebut dengan banyak meminta tip daripada rakan-rakan.
“Untuk persediaan, saya banyak bertanya kepada kawan yang ada pengalaman melahirkan anak. Malah, waktu berpantang nanti, ibu saya sendiri yang akan jaga saya.
“Lebih selesa berbanding orang luar yang jaga.
“Dari segi mental, saya cuma bersedia dari segi ‘mindset’ dengan selalu berfikiran positif,” ujarnya.
Tambah Mira, proses kelahirannya kelak sama ada dilakukan secara normal atau pembedahan bergantung kepada keadaan biarpun sangat teringin untuk bersalin normal.
Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja, Mira mengakui dia juga tidak berpeluang untuk duduk berbincang dengan suami perihal pemilihan nama anak biarpun mereka sudah menyenaraikan beberapa yang terbaik.
“Kalau bab jantina, lepas bersalin baru akan kongsi dengan peminat. Untuk nama bayi dah ada senaraikan beberapa tapi tak putuskan lagi.
“Ada masanya nanti, kami fikirkan.Mungkin waktu rehat masa sepanjang bulan puasa nanti baru duduk berbincang dengan suami,” ujarnya menutup perbualan.