SINGAPURA – Seorang lelaki di Singapura menjadi tular apabila menggunakan pertunjukan dron berlampu untuk melamar kekasihnya di tengah-tengah Gardens by the Bay, lapor portal Mothership, semalam.
Pertunjukan cahaya itu membabitkan 150 dron dan dibuat pada skala besar apabila ia jelas kelihatan oleh penduduk sekitar Marina Bay.
Lamaran itu dibuat oleh jejaka dikenali sebagai Van kepada teman wanitanya, Bry di taman Supertrees, Gardens by the Bay, lokasi yang membolehkan pasangan tersebut menonton pertunjukan cahaya itu dengan jelas.
Dron itu berubah menjadi kotak hadiah sebelum bertukar membentuk cincin gergasi berkelip di langit dengan langit malam Singapura sebagai latar belakang.
Pertunjukan cahaya itu kemudiannya diakhiri dengan beberapa ‘percikan’ bunga api yang terdiri daripada dron.
Syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan lamaran istimewa itu, MIRS Innovate berkata, ia mengambil masa lapan hingga 10 minggu untuk menyediakan n permintaan seperti itu.
Ia merangkumi tinjauan tapak, reka bentuk, pengaturcaraan, ujian penerbangan dan latihan lengkap.
Mereka juga mempunyai dua juruterbang dan dua pegawai keselamatan untuk memastikan keselamatan semasa pertunjukan berlangsung. – Agensi