SEBERANG PERAI – Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan apabila dipukul bertubi-tubi dengan tangan dan senjata dipercayai rotan di sebuah rumah di Nibong Tebal di sini pada Ahad lalu.
Kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu tular di media sosial sejak semalam apabila dua video memaparkan mangsa yang memakai kemeja-T berwarna hijau dipukul beberapa pemuda di ruang tamu.
Video berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik di Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku sambil mangsa dilihat merayu-rayu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima dua laporan termasuk satu laporan pengadu untuk menarik balik laporan berkenaan.
Setakat ini tiada laporan diterima daripada mangsa.
“Sasatan mendapati kejadian berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal.
“Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan di kepala dan lengan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menahan beberapa suspek yang terlibat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan video tersebut atau membuat sebarang spekulasi,” katanya.-KOSMO! ONLINE