PASUKAN hoki kebangsaan akan menjalani latihan di luar negara dalam masa terdekat sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 23 Mei hingga 1 Jun depan.
Skuad kendalian Arul Selvaraj itu pastinya tidak berdepan sebarang masalah dari segi kecergasan memandangkan sebahagian besar pemain negara beraksi pada kejohanan Piala TNB sebelum ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berharap barisan pemain negara boleh melakukan persiapan terbaik bagi memastikan aksi berkualiti dapat ditampilkan di Jakarta.
Kejohanan itu juga boleh dianggap penting buat skuad Malaysian Tigers memandangkan ia turut menjadi pentas untuk memburu slot ke Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di India, Januari tahun depan.
“Kecergasan pemain-pemain kita sudah berada di tahap terbaik, jadi Arul akan bawa mereka menjalani latihan di luar negara bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi saingan Piala Asia di Jakarta nanti.
“Selepas itu, mereka akan pulang ke tanah air dan buat sedikit persediaan sebelum berlepas ke Jakarta. Pada Piala Asia nanti, empat pasukan terbaik akan melayakkan diri ke Piala Dunia di India tahun depan,” katanya.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada saingan Piala Asia adalah pada edisi 2007 di India apabila menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Jepun 5-3 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Pada saingan Piala Asia kali ini, lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, Jepun, Bangladesh, Oman, Pakistan dan Korea Selatan akan membuat perhitungan bagi merebut gelaran pasukan terbaik Asia.