LUXEMBOURG – Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner menyatakan bahawa Kesatuan Eropah (EU) tidak dapat berfungsi dengan baik tanpa bekalan gas Rusia, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kenyataan itu dibuat selepas EU dilaporkan bersiap sedia untuk melaksanakan sekatan seterusnya ke atas Moscow susulan sidang tergempar blok berkenaan di Bucharest, Romania.
Menurut Lindner, persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada sekatan terbaharu akan memberi impak terhadap eksport gas, minyak dan arang batu Rusia.
“Buat masa ini, adalah mustahil untuk kita menghentikan penerimaan bekalan gas dari Rusia.
“Kita perlukan sedikit masa agar dapat membezakan antara minyak, arang batu dan gas,” katanya ketika tiba untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan EU di Luxembourg.
Tambah Lindner, sekatan ke atas import minyak dan arang batu Rusia akan lebih merugikan negara-negara Eropah berbanding Moscow.
Jerman contohnya, amat bergantung kepada gas Rusia dan Lindner menekankan bahawa negara itu merancang untuk mengurangkan kebergantungan tersebut pada masa hadapan.
Menurut laman berita Georgia On Line, Jerman mengimport 55 peratus bekalan gas aslinya dari Rusia di samping 35 peratus minyak mentah dan 45 peratus arang batu dari negara bekas Kesatuan Soviet itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada gelombang sekatan yang sedang digariskan oleh Brussels akan merangkumi had ke atas import minyak Rusia, Naib Presiden Ekonomi bagi Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis berkata, tiada sebarang perancangan mengenai perkara itu setakat ini. – AGENSI