PERSOALAN mengenai siapa yang akan menjadi pasangan baharu ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam akhirnya terjawab.
Nur Dhabitah Sabri diumumkan sebagai gandingan baharu Pandelela bagi menggantikan tempat Datuk Leong Mun Yee yang mengambil keputusan bersara sebagai atlet pada hujung tahun lalu.
Jurulatih skuad terjun kebangsaan, Li Rui berkata, Dhabitah menunjukkan persefahaman cukup baik bersama Pandelela biarpun sudah hampir tiga tahun dia tidak beraksi dalam acara 10m platform.
“Pengganti Mun Yee yang akan bergandingan dengan Pandelela nanti adalah Dhabitah. Selepas Sukan Olimpik, memang kita sudah mula buat persiapan untuk acara platform dan ia menghasilkan sesuatu yang positif.
“Sebelum ini, memang Dhabitah sudah tiga tahun tidak beraksi dalam acara platform. Bagaimanapun, selepas kembali menjalani latihan, prestasinya agak baik,” katanya pada sidang akhbar kontinjen Malaysia di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Selain 10m platform seirama, Dhabitah yang juga pemenang empat pingat emas Sukan SEA akan turut beraksi dalam acara satu meter papan anjal individu wanita pada edisi ke-31 itu nanti.
Sementara itu, Li Rui turut berkata, beliau kekal dengan sasaran untuk menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan dalam sukan terjun biarpun membariskan ramai muka baharu kali ini.
“Sasaran kita memang untuk bawa pulang lapan pingat emas walaupun ia sedikit mencabar kerana ada beberapa atlet akan beraksi buat kali pertama pada Sukan SEA. Mungkin kita akan ke sana lebih awal untuk menguji venue pertandingan,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malaysia menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan dalam sukan terjun pada Sukan SEA Filipina 2019 selain turut membawa pulang dua pingat perak.