SEPANG – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim ) melancarkan Program Kempen Jom Ke Masjid bagi menggalakkan umat Islam untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau di negara ini, susulan peralihan ke fasa endemik.
Bagi menguar-uarkan kempen tersebut yang juga sebahagian daripada pengisian program utama Ihya Ramadan Sebulan Yadim (Irsyad), sebanyak 14,000 pelekat kenderaan turut diedarkan di seluruh negara.
Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, kempen sebegini perlu digerakkan kepada masyarakat khususnya umat Islam di negara ini berikutan dua tahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Jadi kempen ini bertujuan menghidupkan semula dan mengimarahkan masjid serta surau sebab saya lihat, masjid telah kosong dalam pandemik.
“Ramai terbiasa solat berjemaah di rumah dan dengan kempen ini, diharap sempena Ramadan ini masyarakat Islam kembali ke masjid,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Kempen Jom Ke Masjid di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nasrudin berkata, jika kempen tersebut mendapat sambutan termasuk di negeri-negeri, pihaknya akan menjalankan kempen fasa kedua. – KOSMO! ONLINE