fbpx

Sistem kawalan orang ramai elak kesesakan pengunjung bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sistem kawalan orang ramai dapat mengekang penularan Covid-19 di bazar Ramadan.

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini memperkenalkan Sistem Kawalan Orang Ramai (CCS) bertujuan mengawal kemasukan pengunjung di bazar Ramadan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, sistem itu ditempatkan di dua lokasi utama yang menjadi tarikan pengunjung iaitu di bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya serta Seksyen 4, Kota Damansara.

“Sistem headcount ini diperkenalkan bagi memastikan jumlah pengunjung adalah terkawal dengan jumlahnya tidak melebihi 264 orang di bazar Kelana Jaya manakala 160 pengunjung di Kota Damansara pada satu-satu masa.

“Selain itu, sistem ini juga dilengkapi dengan paparan papan pemuka di pintu masuk bazar menunjukkan keberadaan pengunjung yang dapat digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan dalam usaha pematuhan SOP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Program Lawatan Datuk Bandar Petaling Jaya ke Bazar Ramadan 2022, di sini petang ini.

Azhan (dua kanan) melayani pegunjung ketika membuat lawatan tapak bazar Ramadan di SS 6/1 di sini, hari ini. FOTO: – FARIZ RUSADIO

Jelasnya, sistem terbabit turut memaparkan tiga tanda warna iaitu hijau, kuning dan merah bagi menunjukkan keberadaan serta menghalang kemasukan pengunjung jika melebihi kapasiti ditetapkan.

“Jika terbukti sistem ini bagus dan kerajaan negeri Selangor memberikan peruntukan yang mencukupi, kita tidak akan teragak-agak untuk memperluaskan sistem ini di masa hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan memaklumkan MBPJ menyediakan sebanyak 20 lokasi bazar Ramadan termasuk 776 petak untuk disewa peniaga bermula 3 April hingga 2 Mei.

Katanya, sehingga kini MBPJ telah menerima permohonan perniagaan dan mengeluarkan sebanyak 646 permit di 18 lokasi tapak bazar melibatkan 759 petak untuk berniaga.

Dalam perkembangan lain, MBPJ meneruskan inisiatif pemberian kupon sebanyak RM15 kepada pengunjung bazar yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula.

Jelasnya, langkah tersebut bagi mengurangkan penggunaan polisterin dan beg plastik sebagai menyokong kempen bebas beg plastik di Petaling Jaya.

Sementara itu katanya, MBPJ turut melaksanakan kempen pengumpulan minyak masak terpakai sempena Ramadan yang turut menawarkan hadiah menarik sebagai galakan orang ramai mengamalkan cara hidup lestari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI