MADRID – Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menyedari cabaran sukar bakal dihadapi pasukannya menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad awal pagi esok.
Sehubungan itu, Simeone, 51, menggesa barisan pemainnya bersedia untuk menggunakan ‘gear 5’ jika mahu membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik di laman sendiri minggu depan.
“Aksi Liga Juara-Juara sangat berbeza jika dibandingkan dengan saingan domestik. Kami bakal berhadapan dengan sebuah pasukan yang cukup hebat dan berada pada tahap terbaik ketika ini,” katanya.
Pertembungan itu juga lebih dilihat kepada perhitungan kali keempat antara Simeone dan Guardiola kerana City serta Atletico tidak pernah bertemu sesama sendiri dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
Dua jurulatih berkaliber itu mula berentap sesama sendiri dalam saingan La Liga ketika Guardiola membimbing Barcelona menewaskan Atletico 2-1 pada 2012.
Pertemuan seterusnya menyaksikan giliran Simeone pula menewaskan Guardiola yang ketika itu mengemudi Bayern Munich dengan kemenangan tipis 1-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara musim 2015/2016.
Walaupun tewas 1-2 kepada Bayern pada aksi timbal balik selepas itu tetapi kemenangan tetap menjadi milik Atletico dengan keputusan agregat 2-2 menerusi kelebihan gol di tempat lawan. – AGENSI