fbpx

Kuih Malaysia sedap, akui warga Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Alfian dan isterinya membuat pilihan dalam mencari baju raya ketika berbelanja di Angsana Mall, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kebanyakan pengembara dari Singapura teruja dapat kembali menjejakkan kaki ke Johor dan berpeluang membeli belah barang keperluan untuk me­raikan Aidilfitri.

Tinjauan Kosmo! di Angsana Mall, Johor Bahru mendapati, pembukaan semula sempadan darat Johor-Singapura begitu bermakna buat rakyat negara itu apabila berpe­luang meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal dengan sanak saudara di Johor.

Mohd. Alfian Abd. Rahim, 34, berkata, dia bagaikan tidak percaya apabila sempadan Johor-Singapura dibuka semula selepas dua tahun dan berpeluang berjumpa dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu.

“Saya rasa rindu dan seronok dapat datang ke Angsana Mall, bolehlah mencari barang ke­perluan, baju raya dan kuih-muih yang sedap di Malaysia. Kuih di sini berbeza dengan di Singa­pura, tekak saya rasa kuih di sini lebih sedap, saya teringin sangat nak makan kuih bangkit cheese dari Johor,” katanya.

Pekerja bidang farmaseutikal itu turut tumpang gembira selepas rakyat Malaysia yang be­kerja di Kota Singa itu dapat pulang dan menjalani ibadah puasa bersama keluarga setelah dua tahun berjauhan.

“Kami sekeluarga merasa amat bersyukur, sebelum ini ha­nya dapat buat panggilan vi­deo sahaja dengan keluarga di sini. Insya-Allah, tahun ini kami akan menyambut Aidilfitri di Danga Bay. Harapnya pembukaan sempadan ini bagi tempoh yang panjang,” katanya.

Bagi pengurus akaun, Azhar Masril, 37, berkata, Angsana Mall adalah antara destinasi pertama yang ingin dikunjungi bersama keluarga setelah menyeberangi sempadan sejak kelmarin, lebih-lebih lagi ketika sudah memasuki Ramadan semalam.

“Alhamdulillah masih berpeluang bertemu keluarga dan ibu mentua di sini, merasa cukup bahagia bersama-sama menyambut kedatangan Ramadan bersama-sama,” katanya.

Bagi suri rumah, Syakirah Mazlan, 30, dia berasa lega dapat kembali berbelanja di Johor Bahru kerana barangan keper­luan boleh dibeli pada harga yang rendah selepas pertukaran mata wang.
Dengan cara itu, katanya, dia akan dapat berjimat cermat selain dapat menyediakan barangan keperluan Aidilfitri secukupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI