fbpx

Jabatan Kesihatan siasat aduan ayam mentah dalam roti pita, kebab di bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aduan ayam yang masih mentah dijual dalam roti pita dan kebab yang didakwa di beli di Bazar Ramadan di daerah ini, seperti tular di media sosial sejak semalam. -FOTO: IHSAN MEDIA SOSIAL

REMBAU – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan akan melakukan siasatan berhubung aduan ayam yang masih mentah dijual dalam roti pita dan kebab yang didakwa di beli di Bazar Ramadan di daerah ini, seperti tular di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, setiap aduan yang diterima walaupun hanya di media sosial akan disiasat kesahihannya bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa serta seterusnya mengalami keracunan makanan.

“Jabatan Kesihatan Negeri telah diarah untuk segera menyiasat mengenai aduan ini dan sekiranya aduan tersebut benar, peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan tegas kerana kegagalan menjaga kualiti makanan yang bersih dan selamat untuk orang ramai.

“Malah, Jabatan Kesihatan Negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah juga akan turun padang ke setiap Bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook komuniti setempat seorang pembeli berasa kecewa apabila roti pita dan kebab yang dibeli dalam kuantiti yang banyak untuk seisi keluarga tidak dimasak dengan sempurna dan masih mentah isi ayamnya.

“Nak berniaga, buatlah cara berniaga. Makan sekali, loya tekak. Ayam mentah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Veerapan menasihatkan peniaga Bazar Ramadan di seluruh negeri ini untuk mematuhi peraturan dan memastikan makanan yang dimasak benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 22 kes keracunan makanan direkodkan ketika Ramadan 2020 berbanding 36 pada tahun sebelumnya, tetapi meningkat sebanyak 77.3 peratus dengan 39 kes pada 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI