PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Ziana Zain mendedahkan dirinya mengalami masalah gastrik sehingga adakalanya mengganggu jadual pekerjaan dan aktiviti hariannya.
Lebih mengejutkan, penyakit yang dialaminya itu bukan satu perkara baharu kerana sudah empat tahun ditanggungnya sejak 2018.
Tidak lagi mahu bertangguh dan membiarkan masalah semakin melarat, penyanyi Kemelut Di Muara Kasih akhirnya memilih untuk mendapatkan rawatan daripada pakar.
“Alhamdulillah dipertemukan dgn @dr.mustafamt. Sebenarnya ini kali kedua berjumpa dengan beliau untuk consultation (rundingan) tentang gastrik.
“Since (sejak) 2018 dah mula rase ada sesuatu yang tak kena dengan diri ini. Perut cepat rasa tak selesa, angin dalam badan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan susah untuk tidur malam,” tulisnya dalam Instagram.
Pada hantaran sama, pelantun lagu hit Madah Berhelah itu mengakui pernah ke berkunjung ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan lanjut dek memikirkan masalah kesihatan yang dialami.
“Hinggakan ada satu hari terpaksa pergi ke IJN untuk pemeriksaan jantung. Semua ini banyak menganggu urusan harian dan kerja.
“Setelah membuat beberapa pemeriksaan rupa-rupanya ada masalah gastrik. Hopefully (harapnya) dengan rawatan yang diberikan oleh @dr.mustafamt, kesihatan akan kembali normal dan dapat meneruskan kerja tanpa sebarang masalah,” katanya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis menitipkan doa yang baik-baik buat Ziana agar terus diberikan kesihatan berpanjangan.
“Semoga kak Diva ZZ diberikan kesihatan berpanjangan dan boleh melakukan ibadah di bulan Ramadan ini seperti biasa.
“Cepat sembuh kak Ziana. Moga akak terus kuat. Jaga diri. Kami doakan yang terbaik buat akak,” tulis peminat. – KOSMO! ONLINE