LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melancarkan amaran kepada Manchester City dengan menegaskan pasukannya tidak akan memberikan ruang walau seinci dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Reaksi Klopp itu hadir selepas mengetuai The Reds merekodkan kemenangan ke-22 musim ini selepas menewaskan Watford 2-0 hasil jaringan Diogo Jota dan Fabinho di Stadium Anfield malam kelmarin.
Kemenangan itu amat penting buat Liverpool yang akan turun ke Stadium Etihad menentang City pada Ahad depan yang mana ia dilihat sebagai aksi penentu kepada calon juara musim ini.
Kedua-dua pasukan sebelum ini dibezakan dengan 14 mata pada Januari lalu tetapi Liverpool terus memberikan tekanan dan kini hanya dipisahkan satu mata di belakang City.
“Tiada apa yang boleh dilakukan untuk berada di puncak liga dan saya tidak fikirkan tentang perkara itu. Namun, kami tidak boleh berikan ruang kepada mereka walaupun satu inci.
“Untuk terus memburu kejuaraan, kami perlu memenangi perlawanan. Kami tidak boleh lagi bersembunyi kerana perlawanan selepas ini adalah aksi terbesar,” katanya.
Pengendali dari Jerman itu turut menjelaskan, beliau amat menghargai sumbangan semua pemain sehingga berjaya meletakkan Liverpool pada kedudukan terbaik ketika ini.
“Saya cukup hargai situasi kami sekarang. Kami masih bersaing dalam semua pertandingan, sudah menang piala, memiliki skuad penuh dan tidak akan melepaskan peluang sebegini,” jelas Klopp.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana Liverpool hanya sekali berjaya menewaskan City sepanjang lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menerusi kemenangan 3-1 pada 2019. – AGENSI