fbpx

Polis Australia temui mayat penjaga pokok ganja warganegara Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis mencari mayat Jacky di sebuah hartanah di Killongbutta. – Polis New South Wales

CANBERRA – Polis Australia menemui mayat seorang lelaki warganegara Malaysia di sebuah hartanah di  pedalaman negeri  New South Wales, lapor portal berita MailOnline semalam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang dan disyaki telah dibunuh.

Mayat Jacky Chong Kai Wong, 24, ditemui lima hari selepas polis menangkap tiga lelaki lain yang disyaki terlibat dengan kematiannya.

Jacky yang berpindah ke Sydney pada 2016,  dipercayai dibunuh lebih setahun lalu selepas terlibat dengan sebuah kartel dadah.

Pencarian mayat Jackie di sebuah hartanah di  Killongbutta, kira-kira 40 kilometer ke  barat laut Bathurst,  dilancarkan oleh pasukan detektif Strike Force Heighway  pada Selasa lalu. Mayatnya ditemui petang semalam.

“Mayat mangsa akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan forensik dan analisis lanjut termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Meskipun mayat tersebut masih belum dikenal pasti secara rasmi, kami percaya ia adalah Jacky,” demikian menurut kenyataan polis.

Jacky berada di Australia menggunakan visa pelancongan. – Polis New South Wales

Jacky dilaporkan berada di Australia menggunakan visa pelancongan namun,  dia dipercayai bekerja sebagai penjaga tanaman ganja untuk  sebuah kumpulan penjenayah Asia Tenggara yang menanam pokok dadah itu bagi tujuan komersial.

“Kami sudah mengetahui bahawa Jacky bekerja untuk perusahaan milik kumpulan penjenayah yang terlibat dengan penanaman ganja di New South Wales ketika dia disyaki dibunuh,” kata Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, Superitendan Detektif John Watson minggu lalu.

Kumpulan penjenayah tersebut  menyasarkan golongan muda dengan janji bayaran lumayan. Mereka kemudian diarah untuk  menjaga pokok ganja di beberapa lokasi di  kawasan pedalaman Australia.

Tambah polis, Jacky menjaga sehingga 1,000 batang pokok ganja di lokasi dia ditemui.

Dalam pada itu, polis menyerbu sebuah rumah di Sydney minggu lalu dan menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Mereka akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh Jacky yang dilakukan antara 25 Disember 2020 hingga 8 Januari 2021. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI