NEW DELHI – Rusia memuji India kerana tidak menghukum konflik di Ukraine dalam ‘cara berat sebelah’ ketika menteri luar kedua-dua negara mengadakan pertemuan di New Delhi, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
India tidak turut serta dalam kecaman meluas pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine, manakala New Delhi juga merupakan pembeli utama senjata Rusia.
Bagaimanapun, India terus berdepan tekanan daripada negara-negara Barat supaya mengutuk Moscow.
Pendirian New Delhi adalah India menyokong supaya konflik Ukraine diselesaikan secara damai tanpa mengkritik Rusia.
India yang merupakan negara kuasa nuklear, sudah sekian lama memilih strategi berkecuali dalam arena politik antarabangsa dan tidak terikat dengan kepentingan kuasa besar lain atau mana-mana blok politik
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang turut menemui Perdana Menteri Narendra Modi, bercakap mengenai ‘persahabatan kedua-dua negara’ dalam kenyataannya.
“Pada hari ini, Barat mahu mengaitkan sebarang isu antarabangsa dengan krisis Ukraine.
“Kami berterima kasih kerana India memandang situasi ini berdasarkan fakta semata-semata dan bukan cara yang berat sebelah,” katanya.
Rusia sebelum ini memberi alasan menyerang Ukraine sebagai cara untuk melucutkan tentera dan membebaskan negara jirannya daripada elemen Nazi, namun penjelasan itu ditolak Barat sebagai alasan tidak munasabah hanya untuk melakukan pencerobohan.
Rakan sejawat Lavrov, S Jaishankar pula memberi penekanan kepada kepentingan untuk menghentikan keganasan dan menamatkan pertempuran.
“Perbezaan pertikaian perlu diselesaikan menerusi rundingan dan diplomasi dan dengan cara menghormati undang-undang antarabangsa, kedaulatan serta integriti sesebuah negara,” kata menteri luar berkenaan. – Agensi