JOHOR BAHRU – Polis Johor menafikan satu kenyataan tular di media sosial berhubung dakwaan rakyat Malaysia menyamun dan mencederakan warganegara Singapura yang berada di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, gambar dan video yang ditularkan termasuklah di aplikasi WhatsApp itu adalah kejadian lama yang dilaporkan berlaku pada tahun 2014.
“Polis Bukit Aman juga telah menyiarkan kenyataan menafikan berita palsu berkenaan di laman Facebook rasmi mereka pada 2 November 2021.
“Kenyataan tersebut juga telah dilaporkan beberapa agensi media tempatan antaranya termasuklah Kosmo! Online,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, tindakan menularkan semula gambar dan video lama berkenaan dilihat sebagai satu cubaan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai khususnya warga Singapura yang datang ke Malaysia melalui laluan darat. -KOSMO! ONLINE