fbpx

‘Pesta dangdut’ : JHEAT, PDRM buka kertas siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor (tengah) menjelaskan garis panduan hiburan Terengganu kepada Lily Julia di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran ‘pesta dangdut’ di Hotel Tanjong Vista di sini yang telah mencetuskan kontroversi pada 25 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, siasatan menjurus sama ada berlakunya pelanggaran terhadap garis panduan hiburan ditetapkan kerajaan negeri.

“PDRM turut melakukan siasatan kerana menerima laporan berhubung penganjuran persembahan itu.

“Kerajaan negeri Terengganu tidak akan masuk campur dalam siasatan tersebut tetapi berharap pengurusan hotel akan lebih teliti pada masa depan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Hotel Tanjong Vista di sini hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan kerajaan negeri Terengganu menyelar penganjuran program yang menampilkan penyanyi dangdut berpakaian mencolok mata pada 25 Mac lalu.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Tanjong Vista, Lily Julia Hassan Tan mengemukakan permohonan maaf atas penganjuran ‘pesta dangdut’ tersebut yang telah mencetuskan kontroversi.

Beliau menjelaskan, acara persembahan penyanyi berpakaian mencolok mata berkenaan bukan anjuran hotel tersebut tetapi oleh pihak persendirian.

“Kami tidak dimaklumkan penganjur tentang butiran acara tersebut sebaliknya tempahan dibuat bagi majlis makan malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI