KUALA LUMPUR – Skuad hoki projek khas wanita negara berjaya mengikat Wales 3-3 pada aksi kedua Kumpulan D kempen Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan sebentar tadi.
Ia merupakan satu mata yang cukup bermakna kerana ini adalah kali pertama Malaysia membuat penampilan di Piala Dunia Hoki Remaja Wanita sejak edisi pertama kejohanan itu dianjurkan di Ottawa, Kanada pada 1989.
Lebih manis, penyerang negara, Nuramirah Syakirah Zulkifli mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan di Stadium NWU itu.
Ia selepas Nuramirah meledak dua gol dalam tempoh pantas empat minit menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan pada minit ke-34 serta 38.
Satu lagi gol skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu dijaringkan oleh Elizaberth Epui Anak Martin pada minit ke-15.
Wales yang tewas 1-5 kepada India semalam, berjaya meraih tiga gol menerusi Isabelle Howell pada minit ke-24, Jessica Hill (m-52) dan Cerys Preston (m-54).
Pujian harus diberikan kepada barisan kejurulatihan dan para pemain kerana masih dapat memberikan fokus terbaik selepas dibelasah teruk 0-10 oleh Jerman pada aksi pertama semalam. – KOSMO! ONLINE