PADANG BESAR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui telah meninggal dunia di Gua Ikan, Kaki Bukit dekat sini pada malam semalam.
Mayat mangsa, Law Jiann Biau, 52, ditemui terapung dalam sungai gua tersebut kira-kira pukul 7.44 malam.
Mangsa yang merupakan pesakit mental dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira pukul 12.30 tengah malam Rabu lalu dan kali terakhir dilihat berjalan menghala ke arah Gua Kelam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, operasi mencari mangsa telah dilakukan bersama penduduk, namun gagal menemuinya.
Katanya, pihaknya kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk yang turut serta dalam operasi itu yang memaklumkan satu mayat ditemui dalam sungai Gua Ikan pada pukul 7.44 malam semalam.
“Pasukan bomba membantu mengeluarkan mayat dari sungai dan keluarga mengesahkan mangsa berdasarkan tatu pada belakang badan mayat itu,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE