JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) memutuskan untuk memberikan bantuan langsung wang tunai (BLT) kepada rakyat Indonesia untuk meringankan beban berikutan harga minyak masak yang melambung tinggi, lapor program berita Liputan 6.
Jumlah BLT iaitu sebanyak 100 ribu rupiah (RM29.30) sebulan dimaklumkan akan diberikan selama tempoh tiga bulan dari April hingga Jun 2022.
“Kita tahu harga minyak masak naik cukup tinggi disebabkan kesan lonjakan harga minyak sawit di pasaran antarabangsa.
“Untuk meringankan beban masyarakat, pemerintah akan memberikan BLT minyak masak,’’ kata Jokowi.
Menurut beliau, jumlah penerima BPT minyak masak adalah sebanyak 20.5 juta keluarga yang termasuk dalam daftar bantuan barangan bukan tunai (BPNT) dan program keluarga harapan (PHK) serta 2.5 juta pedagang kaki lima (PKL) yang menjual makanan bergoreng.
“Adapun bantuan yang diberikan berjumlah 100 ribu rupiah (RM29.30) diberikan setiap bulan. Pemerintah akan memberikan bantuan tersebut untuk tiga bulan sekali gus yang dibayar pada April sebanyak 300 ribu rupiah (RM87.89).
“Terakhir saya meminta Kementerian Kewangan, Kementerian Sosial, Tentera Nasional Indonesia (TNI) serta Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk bekerjasama agar pelaksanaan bantuan ini berjalan dengan lancar dan baik,” tambah Jokowi. – Agensi