fbpx

Datang ‘curi’ minyak bersubsidi selepas sempadan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang tular ini menunjukkan seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta dengan nombor plat Singapura.

PETALING JAYA – Pembukaan semula sempadan dua hari lalu, nyata melegakan perantuan khususnya mereka yang telah terperangkap di negara ‘orang’ sejak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, ada segelintir penduduk negara jiran telah mengambil peluang ini datang ke Malaysia semata-mata untuk membeli minyak petrol bersubsidi RON 95 yang dikhususkan untuk penduduk tempatan sahaja.

Menerusi perkongsian di laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau memaklumkan bahawa petrol RON95 adalah bahan kawalan kerana diberi subsidi yang tinggi.

“Adalah melanggar Akta Kawalan Bekalan kerajaan jika menjual RON95 kepada warga asing.

“Pada ketika ini, petrol RON95 Malaysia pada harga RM2.05 satu liter adalah ke-11 paling rendah dalam dunia iaitu lagi murah dari beberapa negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Mesir, UAE, Jordan dan Oman,”katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, hanya RON 97 dibenarkan dijual kepada warga asing dengan harga RM3.91 satu liter di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, ia masih jauh lebih murah berbanding harga S$3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan S$3.51 (RM10.90) bagi RON97 di negara jiran sebab petrol dikenakan cukai yang tinggi.

“Jika warga asing isi 40 liter RON95 sahaja, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing di mana subsidi yang diberi untuk RON95 di Malaysia adalah sekitar RM1.70 satu liter,”ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna berang dengan sikap penduduk negara jiran yang sesuka hati telah mencuri minyak subsidi yang sepatutnya untuk rakyat tempatan.

“Harap pihak berwajib ambil tindakan terhadap stesen minyak, tiada kompromi,”kata Abd Rahim Saidin.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Hasnah Majid.

“Bukan minyak petrol sahaja yang mereka beli sesuka hati, minyak masak paket pun warga asing guna. Sudahnya subsidi kerajaan untuk rakyat Malaysia, tapi warga asing yang bersenang lenang,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI