LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menggesa para pemainnya untuk terus mempamerkan persembahan terbaik dalam usaha memburu kelompok empat pasukan teratas musim ini.
Conte mengakui, sebaik menerima pelantikan sebagai pengemudi baharu kelab itu pada November tahun lalu, beliau langsung tidak mempunyai keyakinan bahawa pasukan ini mampu untuk mencabar slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, pandangan itu berubah dan kini semakin selesa untuk bercakap mengenai sasaran utama pasukannya itu selepas berada di kedudukan kelima dan hanya ketinggalan tiga mata berbanding Arsenal di tempat keempat.
“Meletakkan sasaran adalah satu tugas yang benar-benar berat dan kami bukanlah satu-satunya pasukan yang cuba untuk melakukan keajaiban ini.
“Sebelum ini, sukar untuk memberitahu anda semua mengenai sasaran. Ketika saya tiba di sini pada November lalu, situasinya tidak begitu baik.
“Sekarang, saya semakin merasai kemungkinan yang ada. Saya tidak suka menjanjikan sesuatu yang saya tidak mempercayainya. Saya tidak suka untuk menipu sesiapa sebab itu saya fikir lebih baik untuk diam.Ar
“Bagaimanapun, saya melihat banyak peningkatan dalam pasukan dan disebabkan itu, meletakkan sasaran untuk tempat keempat adalah suatu yang realistik. Saya mula merasakan sensasinya jika kami berjaya mencapai sasaran ini.
“Sekiranya anda mahu menjadi sebuah pasukan yang kompetitif dan mahu memenangi trofi, anda perlu hidup dalam tekanan yang positif seperti ini untuk memacu anda supaya sentiasa ke hadapan,” jelasnya. – AGENSI