JOHOR BAHRU – Hujan renyai tidak menghalang masyarakat bandar raya ini mengunjungi bazar Ramadan berhampiran kediaman mereka untuk mendapatkan juadah berbuka puasa hari ini.
Tinjauan yang dilakukan di Bazar Ramadan Taman Suria di sini mendapati bazar berkenaan mula dikunjungi orang ramai seawal pukul 3.30 petang.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menzahirkan kesyukuran mereka kerana tindakan kerajaan melalui peralihan bagi memasuki fasa endemik memberi pelbagai kesan positif.
Sulaiman Hassan, 44, memberitahu, dia teruja untuk kembali mengunjungi Bazar Ramadan di negeri ini setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Singapura.
Katanya, walaupun nama menu jualan di Johor dan Singapura berkemungkinan sama, tetapi daripada segi rasanya amat berbeza.
“Ada beberapa juadah yang memang saya sudah teringin hendak makan tetapi sukar untuk ditemui yang bersesuaian dengan citarasa saya ketika di Singapura, jadi saya memang teruja untuk berkunjung ke Bazar Ramadan ini.
“Kelonggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diberikan kerajaan juga dilihat telah membantu merancakkan semula operasi Bazar Ramadan, ini berbeza berbanding tahun lalu,” katanya yang baharu pulang ke Malaysia, semalam. – KOSMO! ONLINE