fbpx

22 pemandu mabuk diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pesalah trafik ditahan dalam operasi mingguan dijalankan JSPT Kuala Lumpur yang berakhir awal pagi tadi. -FOTO IHSAN JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seramai 22 pemandu mabuk ditahan menerusi operasi mingguan yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, awal pagi tadi.

Operasi mingguan itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 82 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Pahang, Jalan Tun Abdul Rahman dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan 22 lelaki terbabit yang berusia lingkungan 20 hingga 67 tahun mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Selain itu, kita turut menangkap lima lelaki berusia 17 hingga 25 tahun kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, polis juga menahan seorang lelaki warga China berusia 44 tahun di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut.

Tambah Sarifudin, pihaknya menerusi Op Tutup turut menyita 25 kereta yang membuat bising, mengganggu ketenteraman awam dan parkir di kiri serta kanan di Jalan Raja Laut, kelmarin.

Difahamkan, antara kereta disita termasuk sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang tular di laman YouTube dan kesemua kenderaan terbabit akan diambil tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI