BUKIT GANTANG – Tabung Haji akan mengutamakan mereka yang telah disenarai pada tahun 2020 dan 2021 untuk mengerjakan haji pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, justeru kerajaan berharap keputusan mengenai kuota haji dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Setakat ini kita belum dapat lagi kuata haji itu dan kita memahami tekanan yang sedang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi ekoran pandemik Covid-19.
“Tambahan pula, negara itu juga baru sahaja membuka semula sempadan dengan membenarkan ibadah umrah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Ihya Ramadhan di Dewan Bunga Raya Changkat Jering di sini hari ini.
Menurutnya, kehadiran jemaah melakukan umrah di Tanah Suci itu agak ramai dan mungkin kerajaan Arab Saudi perlu membuat pertimbangan sebelum memutuskan kuata haji. – KOSMO! ONLINE