fbpx

Perang beri impak logistik MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAINGAN GP Argentina mungkin berdepan penjadualan semula apabila sesi latihan bebas gagal berlangsung semalam ekoran berdepan masalah logistik. – AFP

SANTIAGO, Argentina – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta mengakui kegagalan logistik yang membawa kargo pasukan MotoGP ke Grand Prix (GP) Argentina adalah kesan daripada pepe­rangan yang tercetus antara Rusia dan Ukraine ketika ini.

Ezpeleta menegaskan, Dorna telah berusaha untuk mencari pesawat kargo tambahan selepas sebuah pesawat yang berlepas dari Indonesia berdepan masalah di Mombasa, Kenya.

Meskipun mencari jalan terbaik, namun Dorna gagal mendapatkan penerbangan untuk membawa semua kelengkapan ‘paddock’ dan muatan semua kelas MotoGP gagal tiba ke Argentina selepas tiada pesawat yang bersedia kerana 20 peratus pe­nerbangan kargo di dunia berasal dari Rusia.

Disebabkan masalah tersebut, jadual perlumbaan GP Argentina berlaku perubahan dan semua sesi latihan bebas di Litar Termas de Rio Hondo semalam (Jumaat) terpaksa dibatalkan.

Latihan bebas hanya akan bermula pada hari ini dan sesi kelayakan pula akan bermula pada sebelah tengah hari atau petang (waktu Argentina).

“Sepanjang 30 tahun dalam MotoGP, kami banyak belajar dari­pada pengalaman. Situasi me­ngenai pe­nerbangan sangat rumit. Masalah juga berpunca akibat pe­perangan di Ukraine.

“Kebanyakan penerbangan kargo adalah syarikat dari Rusia dan ketika ini semua pesawat tersebut tidak dibenarkan beroperasi. Kami kehilangan 20 pe­ratus daripada kesemua penerbangan di dunia.

“Tiada pesawat yang bersedia untuk membantu dan kami tiada pilihan apabila terpaksa me­nung­gu pesawat yang mengalami kerosakkan dibaiki sepenuhnya.

“Di sepanjang 499 perlumbaan yang kami anjurkan, ini adalah kali pertama kami menghadapi masalah seperti ini. Meskipun bukan perkara baik, tetapi kami sentiasa bersedia berhadapan situasi se­perti ini.

“Objektif utama adalah meneruskan perlumbaan di Argentina dan seterusnya di Amerika Syarikat minggu depan,” kata Ez­peleta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI