fbpx

Pencapaian bersejarah skuad hoki wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

PARA pemain skuad projek khas hoki wanita kebangsaan tetap boleh berbangga dengan pencapaian bersejarah turun membuat penampilan julung kali di pentas Piala Dunia Remaja Wanita (JWC) 2022.

Malaysia antara enam negara dijemput oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) beraksi pada kejohanan berprestij dunia di bawah 21 tahun itu di Potchefstroom, Afrika Selatan hingga 12 April ini.

Selain Malaysia, Argentina, Ireland, Ukraine, Wales dan Austria turut dijemput bagi melengkapkan kuota 16 pasukan selepas Australia, New Zealand, China, Jepun, Belgium serta Rusia menarik diri.

Ia adalah satu penghormatan buat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana FIH mempertimbangkan Malaysia yang gagal meraih tiket secara merit selepas aksi kelayakannya, Piala Remaja Asia dibatalkan angkara Covid-19.

Ia menyaksikan penantian Malaysia untuk beraksi dalam saingan JWC akhirnya terlerai sejak edisi pertama kejohanan itu di Ottawa, Kanada pada 1989.

Inilah masanya buat 20 pemain terpilih memanfaatkan peluang keemasan dengan menimba pengalaman berharga beraksi di pentas tertinggi tersebut.

Para pemain tidak sepatutnya takut dan gentar, sebaliknya perlu menunjukkan kehebatan ma­sing-masing biarpun realistiknya Malaysia dijangka sukar untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.

Apa tidaknya, Malaysia yang mendapat jemputan saat-saat akhir tanpa persiapan secukup­nya, perlu berdepan tentangan Jerman, India dan Wales untuk muncul dua pasukan terbaik dalam Kumpulan D ke suku akhir.

Timbalan Presiden MHC, Prof. Datuk Dr. S. Shamala yakin skuad negara mampu mencipta kejutan berbekalkan pengalaman dimiliki beberapa pemain yang sebelum ini pernah bersama skuad senior di pentas antarabangsa.

Nama-nama seperti penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia, Nuramirah Syakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd. Nor, Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad, Zulaikha Husain dan Kirandeep Kaur Gurdip Singh pastinya menjadi sandaran utama.

“Ada ramai lagi pemain dalam pasukan yang sudah merasai pengalaman bermain di peringkat senior sewaktu saingan Piala Asia di Oman tahun ini. Kita boleh menjangkakan persembahan yang bagus daripada mereka.

“Ini adalah pengalaman yang mahal dan amat penting untuk kelangsungan skuad projek khas untuk mencapai sasaran sebenar penubuhan pasukan ini iaitu pingat emas Sukan Asia 2026 (di Jepun),” katanya.

Ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim juga percaya peluang ini tidak akan disia-siakan oleh anak-anak buahnya terutama lapan pemain yang bakal merasai pengalaman kali pertama di pentas antarabangsa.

“Seramai 12 pemain dalam pasukan ini pernah bermain di Piala Asia bersama skuad senior di Oman, manakala lapan pemain masih belum pernah membuat penampilan antarabangsa.

“Berdasarkan pemerhatian barisan kejurulatihan, kami mendapati kesemua pemain terpilih mempunyai prestasi yang baik dan berkeyakinan tinggi. Pendedahan ini akan meningkatkan lagi kualiti permainan mereka,” jelasnya.

Hari ini, skuad negara akan turun membuka kempen menentang bekas juara edisi pertama, Jerman diikuti aksi kedua berdepan Wales esok sebelum melengkapkan saingan Kumpulan D bertemu India pada 5 April. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI