Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB, HARRITH HISHAM, NURUL AIN NATASHA MAZLAN dan LIYANA RAMLI
SHAH ALAM – Orang ramai semalam menyerbu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membuat pengeluaran khas simpanan maksimum RM10,000.
Walaupun permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian, namun orang ramai tetap mengunjungi pejabat KWSP secara fizikal antaranya bagi memeriksa baki dan kata laluan.
Tindakan tersebut juga didorong demi kelangsungan hidup termasuk kepada mangsa banjir.
Seorang operator kilang, Mohd. Firdaus Bahrom, 33, berkata, pengeluaran terakhir ini akan digunakan bagi melangsaikan hutang sekaligus bagi bayaran motosikalnya jenis Honda RS150 yang masih berbaki RM4,000.
“Sebelum ini, saya sudah keluarkan wang KWSP menerusi i-Citra, i- Lestari dan i-Sinar yang digunakan bagi menampung hidup susulan pendapatan diterima cukup-cukup makan pada kadar RM1,400 tanpa sebarang elaun kerja lebih masa.
“Jadi, kali ini fokus saya adalah langsaikan hutang motosikal sekaligus dan memudahkan saya fokus kepada perkara lain dalam fasa pemulihan ekonomi saya,” katanya ketika ditemui semalam.
Dia yang masih bujang memaklumkan akan turut menggunakan pengeluaran khas itu bagi pengubahsuaian rumah di tanah peninggalan arwah bapanya seluas hampir 0.7 hektar.
“Keluarkan wang KWSP ini bukan untuk enjoy tetapi ada matlamat sendiri,” ujar anak keempat dari 11 beradik itu.
Seorang lagi pencarum yang merupakan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Sharifah Hanim Osman, 42, berkata, dia memerlukan wang bagi proses baik pulih rumah didiaminya yang terjejas teruk dalam musibah pada Disember tahun lalu.
Katanya, dia baru sahaja mendapat Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 semalam dan datang ke pejabat KWSP bagi mengetahui prosedur kerana risau scammer yang amat menantikan peluang menipu orang ramai ketika ini.
“Memang perit sebab lama menanti BWI ini dengan lebih tiga kali ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang bagi mengetahui status permohonan.
“Gaji pun sebagai pekerja kilang rendah setakat RM1,300 sahaja dan bersyukur apabila kerajaan telah menetapkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 baru-baru ini,” katanya.
Di Kuala Lumpur, Ibu Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut mula diserbu orang ramai seawal pukul 8 pagi semalam.
Difahamkan, rata-rata yang hadir adalah untuk membuka i-Akaun KWSP serta membuat kemas kini nombor telefon baharu bagi semakan baki simpanan.
Dalam pada itu, pihak KWSP turut mengalakkan semua ahli yang mempunyai masalah berkaitan akaun hadir ke pejabat untuk membuat kemas kini.
Di Ipoh, keadaan di pejabat KWSP terkawal walaupun ramai pencarum membuat permohonan bagi pengeluaran khas.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pencarum KWSP membuat permohonan pengeluaran tersebut untuk perbelanjaan seharian.
Seorang pekerja sebuah pasar raya, Siti Fatimah Kassim, 50, berkata, dia terpaksa mengeluarkan wang caruman bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Saya akan menggunakan wang itu bagi perbelanjaan harian kerana anak-anak pun sudah mula masuk sekolah dan ada juga yang belajar di universiti,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Rahman Kadir, 42, berkata, dia akan menggunakan wang simpanannya bagi menampung kegunaan anaknya yang bakal menyambung pengajian.
Bapa kepada lima orang anak ini berkata, skim itu sangat membantu dirinya dan keluarga demi kelangsungan hidup.
“Selain untuk perbelanjaan makanan kami sekeluarga, wang itu juga bakal digunakan sebagai tambahan modal perniagaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE