fbpx

Muhyiddin sahkan sedang merintis kerjasama politik untuk halang kleptokrat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sedang mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, usaha itu bagaimanapun adalah langkah awal untuk beliau mendapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat.

“Pertemuan saya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Pejuang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menyuarakan pandangan lebih baik parti politik selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

Menurut beliau, mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong BN yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi, tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding maka undi anti-BN berpecah.

Kata beliau, keadaan itu menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat dan mereka sependapat untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.

“Pandangan seumpama itu malah turut disuarakan oleh ramai penganalisis politik,” katanya.

Semalam, Mahathir mendedahkan Muhyiddin berjumpa dengannya kerana mahu beliau memberi sokongan kepada Pengerusi PN itu menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Sebelum itu anaknya yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan Mahathir didatangi Muhyiddin bagi membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.

Mukhriz dipetik sebagai berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira dua minggu lalu setelah Bersatu tewas dalam PRN Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI