MADRID – Real Madrid berpeluang untuk menebus kekecewaan mereka selepas dimalukan oleh Barcelona pada aksi ‘El Clasico’ dua minggu lalu apabila berkunjung ke Celta Vigo untuk saingan La Liga awal pagi esok.
Hanya kemenangan ke atas Celta dilihat mampu memulihkan semula semangat para pemain Real selepas dibelasah Barcelona 0-4 menerusi dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan satu daripada Ronald Araujo serta Ferran Torres.
Penjaga gol Real, Thibaut Courtois menggesa rakan sepasukannya agar memanfaatkan peluang untuk kembali melebarkan penguasaan mereka sebagai pendahulu La Liga ketika ini.
“Prestasi kami tidak bagus. Sekarang adalah masa terbaik untuk kami bangkit dan meraih semula tiga mata apabila turun bertemu Celta,” katanya.
Kemenangan juga akan membakar semangat Los Blancos yang akan turun ke London menentang juara Eropah, Chelsea untuk aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada Khamis ini.
Bagaimanapun, Real berkemungkinan besar terpaksa mengharungi dua perlawanan penting tersebut tanpa kehadiran ketua jurulatihnya, Carlo Ancelotti yang disahkan positif Covid-19 minggu ini.
Pengendali berusia 62 tahun itu dikatakan cuma mengalami gejala ringan dan masih menjalani pengasingan di kediamannya buat masa ini.
Sebagai rekod, Real kini mendahului carta La Liga dengan kelebihan sembilan mata ke atas pencabar terdekat di tempat kedua, Sevilla selepas mengharungi 29 perlawanan. – AGENSI