fbpx

Jangkitan Covid-19 di rantau Asia lepasi angka 100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di sebuah pusat saringan sementara di Beijing pada 23 Mac 2022. – AFP

GENEVA, Switzerland – Jumlah jangkitan Covid-19 di rantau Asia melepasi angka 100 juta Rabu lalu, didorong oleh lonjakan semula kes yang didominasi sub-varian Omicron, BA.2, lapor laman berita Wion News.

Menurut analisis  agensi berita Reuters, Benua Asia melaporkan lebih satu juta kes baharu dalam masa selang dua hari.

Asia yang menempatkan separuh populasi dunia itu menyumbang kepada  21 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, BA.2 kini merangkumi hampir 86 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan.

Sub-varian BA.2  yang lebih mudah berjangkit tetapi kurang membawa risiko kematian menjadi punca kepada peningkatan angka tersebut sejak beberapa minggu lalu dengan penularan melonjak di negara seperti Korea Selatan, China dan Vietnam.

Korea Selatan muncul negara  paling banyak mencatatkan purata kes harian baharu melibatkan satu dalam setiap empat jangkitan di peringkat global setiap hari.

Meskipun bilangan kes telah menurun sejak awal Mac lepas, Korea Selatan masih mencatat purata lebih 300 kematian  setiap hari.

Sementara itu di China, pemerintah masih bergelut untuk mengawal penularan terburuk yang dihadapi negara komunis berkenaan sejak  pandemik bermula.

Lonjakan kes Covid-19 di Shanghai yang berpunca daripada sub-varian BA.2 menyaksikan hab kewangan China itu berada di bawah perintah berkurung.

Bandar raya yang mempunyai 26 juta penduduk itu melaksanakan perintah berkurung secara dua fasa  bermula Isnin lalu. Antara peraturan yang dikuatkuasakan termasuk menyekat pergerakan orang ramai di lebuh raya bagi mengawal penularan wabak.

China melaporkan lebih 45,000 kes baharu Covid-19 sejak permulaan tahun ini, lebih tinggi berbanding angka sepanjang 2021. 

Meskipun telah memberikan suntikan vaksinasi kepada 90 peratus populasinya,  warga emas di China kurang menerima suntikan dos penggalak, seterusnya mendedahkan mereka kepada jangkitan.

Dalam pada itu, di India, sebanyak 43 juta kes Covid-19  telah direkodkan, melebihi jumlah bagi tiga negara yang paling teruk terjejas sekarang iaitu Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

Bagaimanapun, negara itu melaporkan kurang 2,000 kes baharu setiap hari sejak 11 hari lalu  berbanding 300,000 kes harian ketika kemuncak jangkitan pada Januari lalu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI