MANJUNG – Penduduk diminta tidak cemas jika melihat helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbang rendah dan berlegar sekitar bandar Seri Manjung dekat sini pada Isnin ini dan Sabtu depan.
Ini kerana TLDM akan melaksanakan latihan menyelamatkan mangsa nahas helikopter terhempas pada hari tersebut.
Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan, latihan itu melibatkan aset-aset udara seperti Super Lynx Mk 100 dan AS 555 SN Fennec.
“Latihan bersempena program minggu keselamatan penerbangan oleh Cawangan Udara TLDM dengan kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut di padang bola IKM.
“Ini juga merupakan salah satu acara sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-88 yang akan disambut 27 April nanti,” kata kenyataan tersebut. – KOSMO ONLINE