PETALING JAYA – Skuad futsal kebangsaan terpaksa ‘berpeluh’ sebelum mencatatkan kemenangan 7-6 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Futsal AFF di Stadium Huamark, Bangkok petang tadi.
Padak aksi tersebut, skuad negara yang dibimbinh oleh Chiew Chun Yong berjaya meraih gol awal menerusi jaringan Ros Sichamroeun seawal minit pertama.
Namun, aksi pada separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 3-3 apabila skuad negara menambah gol menerusi Khairul Effendy Bahrin (m-9) dan Saiful Nizam Ali (m-20) manakala tiga gol dijaringkan Kemboja hasil ledakan Orkchan Sereyvong (m-6), Sichamroeun (m-17) dan Diamant Prum (m-18).
Bersambung pada babak kedua, aksi bertambah sengit dengan kedua-dua pasukan saling membalas gol apabila Abu Haniffa Hassan meledak dua jaringan (m-23 dan m-32), jaringan sendiri Sichamroeun (m-29) dan Khairul (m-39) untuk skuad kebangsaan.
Sementara itu, jaringan yang dilakukan oleh Kemboja menerusi Sereyvong (m-25), Chanmony Tong (m-33) dan Sothydaroth Lunh (m-40) belum cukup untuk mengikat keputusan seri apabila kedudukan 7-6 kekal sehingga tamat perlawanan.
Tiga mata yang diraih Malaysia pasti memberikan suntikan motivasi sebelum mengharungi aksi kedua menentang Indonesia pada Isnin ini.
Tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan. – KOSMO! ONLINE