TARIKH 1 April 2022 merupakan detik bersejarah buat Malaysia. Semalam negara memasuki fasa peralihan endemik.
Rakyat menyambutnya dengan keadaan penuh kesyukuran. Ini selepas dua tahun lebih sejak negara melalui pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.
Kini Malaysia sudah nampak cahaya di hujung terowong. Sempadan negara sudah dibuka. Kedai-kedai makan atau premis boleh beroperasi tanpa had pukul 12 tengah malam.
Ini menandakan pengusaha mendapat lebihan untung. Ada pemain sektor pelancongan yang sudah tidak sabar menerima pengunjung asing.
Malah Ramadan kali ini pasti meriah. Masjid-masjid dan surau-surau bakal dipenuhi jemaah. Kebanyakan negeri mula melonggarkan prosedur operasi standard (SOP). Sudah boleh bersolat tanpa penjarakan fizikal.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan pengusaha restoran 24 jam atau kedai mamak hanya mampu beroperasi lapan jam. Berikutan berdepan masalah utama iaitu kekurangan tenaga kerja.
Jika dahulu mereka ada 20 pekerja untuk operasi 24 jam, kini mungkin jumlah itu sudah berkurang separuh.
Pelbagai faktor dan situasi semasa menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja ini. Antaranya faktor pandemik. Pekerja asing sebelum ini terkandas ketika pulang ke negara masing-masing.
Ada yang sudah tamat permit kerja jadi untuk masuk semula ke negara ini agak sukar berikutan kekurangan permintaan.
Pekerja tempatan pula kurang berminat mengisi kekosongan itu. Penduduk lokal atau orang muda lebih gemar menyertai sektor ekonomi gig iaitu trend sistem pasaran bebas.
Trend ini bukan sahaja berkembang di Malaysia malah di negara-negara lain. Golongan ini selesa bekerja dalam sektor ini kerana waktu kerja yang ditawarkan adalah lebih fleksibel.
Ekoran itu, kerajaan terpaksa bawa masuk pekerja asing bagi mengisi kekosongan sektor perkhidmatan sajian dan restoran, perladangan dan pembinaan.
Namun, ada pihak yang sudah mengintai peluang untuk mengambil kesempatan. Pantaulah pintu masuk negara di lapangan terbang antarabangsa kita.
Pekerja asing ini ‘lubuk’ duit. Sampai-sampai sudah kena ‘tekan’. Mereka tiba sebelum ada pihak yang menawarkan ‘pengangkutan’ atau diberi istilah ‘lapik’.
Satu kepala perlu bayar RM100 kepada ‘ulat teksi’ ini. Bayangkan untuk perjalanan dari Sepang ke lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Itu harga untuk seorang tetapi sebuah kereta boleh mengangkut empat penumpang.
Satu trip pemandu ini mendapat RM400. Modus operandi digunakan adalah dengan berlagak sebagai pemandu e-hailing.
Betul-betul boleh buat duit mudah. Benarlah kata saudagar unta dari Cairo, Husin Lempoyang; “Berniaga manusia lagi bagus daripada unta.” -KOSMO! ONLINE