GEORGE TOWN – Sebahagian besar menu juadah berbuka puasa di bazar Ramadan di negeri ini dijangka mengalami peningkatan harga berikutan kenaikan kos bahan mentah.
Rata-rata peniaga yang ditemui di sini hari ini menyatakan mereka terpaksa menetapkan harga baharu untuk jualan di bazar Ramadan bermula esok.
Seorang peniaga di bazar Ramadan Balik Pulau, Nor Azlina Seliman, 37, berkata, mereka tidak akan dapat menampung modal berniaga jika tidak menaikkan harga jualan.
“Kami yang beroperasi hanya setahun sekali di bazar Ramadan amat terasa dengan kenaikan harga barangan keperluan termasuk terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi.
“Selain dikenakan caj sewa tapak dan kanopi pada harga RM600, kami juga terkesan dengan harga barang mentah yang naik secara tidak menentu sehingga 30 peratus.
“Andai kami tidak menaikkan harga makanan yang dipasarkan, memang kami langsung tidak berpeluang menampung modal yang dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga gulai kawah di Bazar Ramadan Bayan Baru, Shafie Zakaria, 43, berkata, peniaga terutama yang baru hendak memulakan perniagaan di bazar Ramadan mungkin menaikkan harga makanan.
“Ini kerana, mereka terpaksa mengeluarkan modal yang banyak untuk membeli peralatan dan kelengkapan berniaga.
“Bagi peniaga lama kekal dengan harga lama disebabkan sudah dikenali pelanggan selain mahu mengekalkan identiti produk makanan yang dipasarkan,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di pusat bandar George Town, Bayan Baru dan Balik Pulau petang ini mendapati ramai dalam kalangan peniaga bazar Ramadan sedang membuat persiapan akhir sebelum memulakan operasi perniagaan esok. – KOSMO! ONLINE