PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di 10 negeri sehingga pukul 7 malam nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, cuaca tidak menentu itu melibatkan seluruh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak serta Sabah.
“Perak melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim, manakala Kelantan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Bagi Terengganu antara kawasan terlibat di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, sementara di Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Kuantan, Pekan dan Rompin,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca tidak menentu itu turut diramal berlaku di Johor iaitu di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Bagi Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Kapit (Song) dan Limbang.
“Sementara Sabah cuaca buruk dijangka di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas),” tambah kenyataan itu.
Jelas MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE