BUKAN mudah memikul tanggungjawab melunaskan hasrat tergendala oleh insan yang kisahnya begitu dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Perasaan Nikki Palikat atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat, 37, berkobar-kobar tatkala diberi penghormatan menyempurnakan lagu yang sepatutnya dirakamkan Siti Sarah berjudul Sudah.
Ciptaan sepenuhnya Naim Daniel, lagu berkenaan merupakan karya yang diharapkan Allahyarham untuk melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Namun perancangan Tuhan tiada siapa yang mampu menduga apabila Sarah meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19, Ogos tahun lalu.
Demi memberikan yang terbaik terutama dari segi penghayatan emosi dan mendalami maksud sebenar lagu, Nikki sanggup melakukan perkara yang bukan-bukan.
Ikat diri, berbalut
Perihal tersebut termasuk berbalut dalam comforter (selimut tebal) dan tangannya diikat sebelum bertandang di studio rakaman. Semuanya kerana ingin memastikan mudah baginya mendalami maksud dan mesej sama ada tersurat dan tersirat dalam lagu balada tersebut.
“Lagu Sudah ini lebih dari sekadar nak ‘tayang’ vokal. Sebagai seorang penyanyi, tugas saya adalah untuk menyampaikan cerita melalui penghayatan emosi.
“Sebelum masuk studio rakaman, saya banyak buat eksperimen. Saya kan anak teater. Jadi, saya sampai ikat tangan dan siap bungkus diri dalam comforter sambil menyanyi, nak tengok hasilnya bagaimana.
“Menyanyi bukan sekadar melontarkan lirik. Saya buat semua itu sebab nak dapatkan ‘feel’ yang tepat untuk lagu yang dirakamkan,” katanya.
Nikki yang terkenal dengan lagu rancak berjudul Caramu ditemui HibGlam pada majlis pelancaran single Sudah di ibu negara, baru-baru ini.
Isteri kepada komposer Audi Mok itu tidak menafikan berasa gerun apabila mengetahui bahawa Sudah merupakan karya yang diharapkan Siti Sarah untuk masuk ke pentas AJL.
“Saya dapat lagu ini ketika peringkat awal Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). Pihak Indigital datang ‘approach’ (mendekati saya).
Gerun
“Saya macam gerun kerana lagu ini yang arwah target untuk masuk AJL. Tambahan pula, Naim Daniel yang tulis dan kita semua sedia maklum, dia bukan jenis komposer senang-senang bagi lagu pada orang.
“Tetapi saya percaya Sarah mahukan saya nyanyi lagu ini dengan interpretasi dan gaya sendiri. Ini lagu terakhir yang Sarah nyanyikan walaupun hanya dalam bentuk demo. Tiada rezeki, tinggal nak masuk studio dan vokal sahaja.
“Shuib pun merestui (saya nyanyi) dan ini adalah tanggungjawab besar dan akan saya lunaskan sebagai mungkin,” ujar Nikki.
Sekadar info, Siti Sarah meninggal dunia pada usia 36 tahun, namun sempat melahirkan bayi lelaki, yang merupakan anak keempatnya, Ayash Affan.
Rapat dengan arwah
Menganggap lagu Sudah begitu istimewa, Nikki bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik usai proses rakaman sehinggalah pembikinan video muzik (MV) dilangsaikan sepenuhnya bulan lalu.
“Apabila mendapat demo, saya cuba sedaya upaya mengkaji apa yang perlu dilakukan untuk memberikan yang terbaik dalam lagu ini. Saya mahu menjadikan lagu ini diterima ramai dan memberikan keselesaan juga kepada saya untuk menyanyi.
“Satu lagi yang istimewa tentang Sudah, liriknya begitu menangkap dan membuatkan sesiapa sahaja merasai apa cuba disampaikan,” tambah pemenang tempat kedua
GV8 itu lagi.
Bercerita mengenai proses pembikinan MV pula, ada satu kejadian yang berlaku sehingga penggambaran terpaksa dihentikan seketika apabila Nikki mula menangis.
Jelasnya, perkara berkenaan berlaku secara spontan apabila bait-bait lirik sangat menusuk ke dalam hatinya dan membuatkan air matanya gugur.
“Lirik bahagian korus sangat menusuk ke dalam hati. Tak tahu mengapa, tiba-tiba sahaja saya merasakan perkara itu.
“Apabila kita faham dengan apa yang dimaksudkan, itu juga menjadi sebab mengapa saya menangis ketika penggambaran berlangsung,” katanya.
Bercerita mengenai Siti Sarah pula, Nikki menganggap apa yang berlaku sebagai sebuah perjalanan hidup yang harus diterima dengan reda oleh semua.
Hubungan baik yang terjalin antara mereka membuatkan Nikki sentiasa menghormati dan mengenang segala kebaikan Allahyarham selama mereka mengenali antara satu sama lain.
“Dahulu kami sering bertemu dalam beberapa persembahan nyanyian. Saya kagum dengan bakat yang dimiliki olehnya.
“Sarah kaya dengan pelbagai teknik nyanyian dan itu juga menjadi kelebihannya.
“Sudah pasti kehilangannya memberikan kesan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada seluruh industri,” tuturnya.