PADANG BESAR – Sekumpulan 12 pengembara dari Thailand menjadi kumpulan pertama memasuki negara ini menerusi Pos Imigresen Wang Kelian di sini hari ini.
Menurut Sufi Ya-kof, 32, yang berasal dari Wilayah Pattani, Thailand, dia tiba bersama pengembara lain mulai kira-kira pukul 1.35 petang.
“Saya dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang untuk bekerja di sebuah restoran di sana setelah memperbaharui permit kerja yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
“Sebelum pintu sempadan antarabangsa dibuka, saya bekerja dengan berniaga secara kecil-kecilan di Pattani bagi menyara hidup,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja di negara ini dan pulang ke Thailand selepas wabak Covid-19 melanda sebelum sempadan antarabangsa ditutup.
“Pendapatan di Thailand agak rendah dan kehidupan di sana agak sukar berbanding di Malaysia.
“Saya melihat pembukaan sempadan memberi peluang kepada kami untuk bekerja dan mendapat pendapatan yang lebih,” jelasnya.
Sehingga pukul 4 petang tadi, kumpulan tersebut masih menjalani ujian pantas RTK-Ag (RTK) yang disediakan di Kompleks Taman Negeri tidak jauh dari Pos Imigresen Wang Kelian. – KOSMO! ONLINE